Pak Ungku Penerima Sulung Anugerah Merdeka Oleh Perdana Menteri
Sekalung tahniah diucapkan kepada Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid (Pak Ungku) di atas penganugerahan ANUGERAH MERDEKA yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi baru-baru ini. Pak Ungku yang merupakan penerima bagi kategori Pendidikan dan Komuniti telah dipilih sebagai penerima sulung atas dasar sumbangan beliau yang bermakna terhadap pembasmian kemiskinan, pembangunan ekonomi luar bandar dan dalam bidang pendidikan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Filharmonik PETRONAS, Kuala Lumpur pada 24 November 2008 mencatat sejarah buat Pak Ungku kerana segala pengorbanan masa, tenaga, wang ringgit yang disumbang bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat miskin di luar bandar serta taraf pendidikan kini dinilai oleh badan-badan serta syarikat-syarikat korporat di negara ini. Jasa yang ditabur kini menampakkan hasil yang boleh dibanggakan.
Keputusan bagi penerima-penerima sulung Anugerah Merdeka diumumkan pada 21 Ogos lalu setelah proses penilaian dan perbincangan mendalam mengenai sumbangan dan pencapaian mereka yang dicalonkan dilakukan berbulan-bulan lamanya, selepas disenarai pendek oleh Jawatankuasa-Jawatankuasa Pencalonan dan Pemilihan.
Anugerah ini, yang dirintis oleh PETRONAS, ExxonMobil dan Shell selaku Ahli Gabungan Pengasas, bermatlamat untuk menjadi anugerah tahunan paling berprestij di negara ini yang secara khususnya meraikan, mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada kecemerlangan dan inovasi.
Syarat penerima anugerah ini adalah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang masih hidup, manakala warga asing layak untuk dicalonkan bagi kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia. Anugerah ini turut terbuka kepada institusi-institusi atau organisasi-organisasi kecuali bagi kategori Pencapaian Ulung Akademik.
Penerima bagi setiap kategori menerima wang tunai RM500,000.00, sebuah piala dan sijil daripada Perdana Menteri, yang juga Penaung Anugerah Merdeka.
Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah (BOT) Anugerah Merdeka, Tan Sri Dato’ Seri Mohd. Hassan Marican dan lain-lain anggota BOT iaitu Mr. Liam M. Mallon, Datuk Saw Choo Boon, Datuk Dr. Rosti Saruwono, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, dan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Khoo Kay Kim, serta ahli Jawatankuasa Pencalonan dan Pemilihan.
Selain daripada Pak Ungku, penerima-penerima lain yang diiktiraf di bawah lima kategori Anugerah tahunan ini ialah :
* Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk Kategori Alam Sekitar
* Kumpulan Pengkaji Ensefalitis Nipah dari Fakulti Perubatan, Universiti Malaya dhalid bin Kadir selaku penerima bersama untuk Kategori Kesihatan, Sains dan Teknologi, serta
* Datuk Leslie Davidson untuk Kategori Sumbangan Ulung Kepada Rakyat Malaysia
Anugerah ini, yang dilancarkan bersempena Jubli Emas Malaysia tahun lalu, dinamakan sedemikian untuk meraikan semangat jati kemerdekaan yang mendorong individu-individu atau organisasi unggul untuk melangkaui batasan dalam mengejar kecemerlangan bagi kemajuan Malaysia dan rakyatnya.
