Taklimat Oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

Ringkasan taklimat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Kumpulan Wang Likuiditi Pusat (KWLP)

Di dalam melaksanakan agenda kerajaan bagi memertabatkan pergerakan koperasi Negara, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah diberi kepercayaan bagi menerajui dan merealisasikan impian ini. Di bawah perancangan kerajaan bagi membantu mengekalkan kestabilan dalam sektor koperasi untuk memastikan perkhidmatan yang disediakan oleh koperasi kepada anggota tidak terganggu dan kepentingan anggota tidak tergugat, Kumpulan Wang Likuiditi Pusat (KWLP) telah diwujudkan. Idea mewujudkan KWLP ini adalah bagi kemudahan mudah tunai kepada koperasi. Di bawah kaedah ini, koperasi tertentu seperti koperasi kredit dan koperasi bersaiz besar sahaja dibenarkan mencarum dan ianya bergantung kepada saiz liabiliti yang layak ke dalam KWLP. Sebaliknya koperasi yang bermasalah atau ‘insolven’ tidak akan dibenarkan. Koperasi yang mempunyai masalah kecairan boleh meminjam dari KWLP dengan syarat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh SKM. Risiko kredit bagi pinjaman mudah tunai ini akan ditanggung oleh SKM sendiri.

Objektif bagi mengadakan KWLP ini adalah bagi memastikan kestabilan dalam sektor koperasi selain termaktub dibawah Peruntukan Perundangan Seksyen 42 Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007.

Bagi ahli koperasi yang memiliki modal dan ingin mencarum, caruman boleh dilakukan berdasarkan kepada peratusan liabiliti layak dimana ianya boleh dilakukan melalui tiga kaedah iaitu melalui pembelian saham koperasi, pembayaran yuran atau caruman ahli serta mendepositkan caruman ke dalam akaun koperasi. Manakala peratusan caruman adalah sebanyak tiga peratus dari liabiliti layak. Kekerapan caruman adalah berkala di mana ianya boleh dilakukan pada setiap tahun kewangan berakhir koperasi yang telah diaudit. Cara bagi membuat pengeluaran caruman pula adalah di mana jumlah caruman yang boleh dikeluarkan seharusnya yang telah melebihi had caruman yang ditetapkan, pemohon perlu membuat permohonan dari koperasi yang mencarum secara sukarela dan mestilah genap setahun caruman dibuat. Pulangan dari pencaruman pula akan ditentukan oleh pihak SKM dimana pihak SKM akan menentukan kadar pulangan atas caruman dari semasa ke semasa.

Bagi memastikan perjalanan KWLP ini dilaksanakan dengan berkesan, pihak KWLP telah menyediakan kemudahan likuiditi kepada koperasi dalam bentuk dana sementara atau melindungi aliran wang keluar melalui penyesuaian semula (re-adjustment) asset dan liabiliti. Sekiranya terjadi keadaan luar jangka atau kecemasan, dana tersebut boleh juga digunakan. Pihak SKM juga telah menetapkan tempoh pinjaman balik bagi dana tersebut di mana keperluan dana sementara atau melindungi aliran wang keluar melalui penyesuaian semula asset dan liabiliti adalah selama sembilan puluh hari (90 hari) manakala tempoh pinjaman bagi keadaan luar jangkaan atau kecemasan yang memberi kesan terhadap perjalanan koperasi keseluruhannya adalah selama tiga ratus enam puluh hari (360 hari). Manakala kadar bayaran perkhidmatan atas pinjaman tersebut akan ditentukan oleh pihak Jawatankuasa yang dilantik.

Pihak SKM juga telah menetapkan bentuk cagaran yang boleh digunakan bagi membuat pinjaman ini yang mana caruman yang telah dibuat dalam akaun Kumpulan Wang; Jaminan bayaran yang akan diterima dari Biro Perkhidmatan ANGKASA atau Badan-Badan yang diiktiraf oleh Suruhanjaya; Simpanan Tetap ; Pulangan Aset Tetap; Jaminan Bank; Bayaran yang akan diterima (receivables); atau apa-apa sekuriti yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia, Bank Negara Malaysia atau sekuriti yang diluluskan oleh SKM. Manakala kuasa yang meluluskan pinjaman ini adalah melalui sistem pengagihan kuasa di mana SKM akan mengagihkan kuasa melulus pinjaman kepada pihak yang diberi kuasa mengikut had-had pinjaman yang ditentukan. Risiko kredit pula akan ditanggung oleh pihak SKM kerana syarat dan terma kemudahan pinjaman ditentu dan diluluskan oleh pihak SKM sendiri.

Akaun Deposit Koperasi (ADK)

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga telah mewujudkan Akaun Deposit Koperasi (ADK) atau Co-operative Deposit Account (CDA) dengan tujuan bagi menyediakan persekitaran yang kondusif bagi koperasi menjalankan aktiviti dan peranan mereka dengan lebih efektif lagi. Melalui ADK, koperasi mampu meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi koperasi yang memerlukan pembiayaan untuk membesarkan perniagaan mereka. ADK merupakan satu kaedah di mana lebihan dana dalam sektor koperasi akan di gembleng dan kemudian digunakan bagi membiayai pinjaman kepada koperasi-koperasi yang memerlukan dana untuk mengembangkan aktiviti perniagaan. Mewujudkan sistem pasaran kewangan yang tersendiri dan kukuh bagi sektor koperasi, sebagaimana pasaran kewangan yang terdapat dalam sektor perbankan.

Prinsip utama ADK adalah mewajibkan semua koperasi mendepositkan lebihan dana mereka ke dalam ADK agar koperasi dapat menikmati kemudahan perbankan seperti biasa. Selain itu mendeposit dalam ADK juga akan diberi pulangan yang baik kepada koperasi manakala pinjaman dari ADK akan memanfaatkan perniagaan mereka. Operasi ADK akan dilakukan dalam suasana komersial disamping ajen yang bertauliah yang diiktiraf oleh SKM di beri kepercayaan mengurus ADK dan menaggung risiko kredit. Manakala SKM akan mengawal selia pengoperasian ADK oleh Pengurus ADK.

Menyentuh mengenai Akta Koperasi, menurut Peruntukan Perundangan Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia 2007 (Akta SKM) di bawah seksyen 43 (1) yang memperuntukkan bahawa dalam masa 2 tahun dari tarikh mula berkuatkuasa seksyen ini atau apa-apa tempoh yang lebih lama yang tidak melebihi 5 tahun sebagaimana yang dibenarkan secara bertulis oleh SKM, semua koperasi hendaklah mendepositkan kumpulan wang mereka yang tidak diperlukan dengan segera bagi operasi atau pelaburan ke dalam Akaun Deposit Koperasi. Menurut peruntukan seksyen 43(2) pula SKM boleh, dengan kelulusan Menteri terlebih dahulu, membuat peraturan mengenai skop, operasi dan pengurusan Akaun Deposit Koperasi. Manakala menurut peruntukan Akta Koperasi 1993 seksyen 57(1E) menyebut Kumpulan Wang Rizab Statutori hendaklah di senggara dalam satu akaun yang berasingan dan hendaklah dilaburkan dalam Akaun Deposit Koperasi sebagaimana yang disebut dalam Akta SKM.
Pemberi Pinjaman

Kegunaan dana yang ditubuhkan ini dapat dikategorikan sebagai pemberi pinjaman kepada koperasi. Dana yang terkumpul digunakan untuk membiayai aktiviti koperasi seperti permulaan perniagaan koperasi baru sejajar dengan Undang-undang Koperasi di samping digunakan bagi memperbesarkan perniagaan dan pembiayaan mikro kepada ahli koperasi. Pinjaman yang diberikan pula pada kadar kompetitif atau pada kadar keutamaan dengan syarat dan terma yang tidak membebankan. Pengurus ADK pula akan meluluskan pinjaman dan menanggung risiko yang ada. Walaubagaimanapun koperasi masih boleh lagi membuat pinjaman pada mana-mana bank sekiranya berlaku masalah dalam ADK.
Pelaburan Dana

Baki yang tidak digunakan untuk aktiviti pinjaman boleh dilaburkan dalam aset mudah tunai terutama sekali dalam bentuk:-

* Bon-bon yang diterbit/dijamin oleh Kerajaan/BNM;
* Bon bergred AAA; atau
* Pelaburan lain yang diluluskan oleh SKM

Ini adalah bagi menangani pengeluaran deposit luar jangkaan daripada ADK dan mengoptimumkan pulangan kepada pendeposit serta membantu membangunkan lagi pasaran bon di Malaysia.
Peranan Pengurus ADK

Dalam menyelaras dan menjalankan pengurusan dana ini, pihak SKM telah melantik satu atau lebih agen yang layak (termasuk koperasi yang layak) sebagai pengurus untuk menubuh dan mengurus ADK ini. Pengurus akan menerima wang berlebihan koperasi sebagai deposit dan menggunakan dana tersebut untuk memberi pinjaman dan melabur. Pengurus ADK juga akan mengemukakan laporan berkala kepada SKM mengenai prestasi ADK di samping menggunakan kepakaran dalam pengurusan terutama asset dan liability serta dalam pelaburan bagi memantap dan mengembangkan lagi kegunaan dana tersebut.

Tanggungjawab SKM

Antara tanggungjawab SKM dalam menggerakkan pengurusan dana ini adalah seperti berikut :

* Melantik sebuah atau lebih koperasi, bank atau institusi lain yang SKM dapati layak.
* Menyelia operasi ADK mengenai pengambilan deposit, pemberian pinjaman dan aktiviti pelaburan.
* Mengeluar peraturan dan garispanduan mengenai pengoperasian ADK.
* Mengenalpasti keperluan pelaporan oleh Pengurus ADK mengenai progres dan prestasi ADK.
* Mengadakan perjanjian di antara SKM dan Pengurus ADK.

Penentusahan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bagi Perlantikan Anggota Lembaga Koperasi

Sebelum menentusahan perlantikan Anggota Lembaga Koperasi (ALK) oleh SKM, peranan koperasi yang berpotensi amat penting untuk menggembleng lebihan dana bagi membiayai perusahaan mikro dan perniagaan kecil. Potensi yang ada ini juga tidak akan dapat dimanfaat sepenuhnya jika terdapat kelemahan yang wujud di dalam sektor koperasi itu sendiri. Masalah ini perlu ditangani dengan segera bagi mengelak dari berlakunya ketidakstabilan sosial dan peningkatan kos bagi menyelamatkan koperasi yang bermasalah. Oleh itu potensi yang ada seharusnya berjalan seiring dengan Dasar Koperasi Negara yang ingin menjadikan sektor koperasi sebagai pemangkin dalam pembangunan ekonomi negara.

Penentusahan perlantikan ALK juga termaktub di dalam Perlembagaan Koperasi di bawah seksyen 43(2) Akta Koperasi 1993 dimana “….sesuatu koperasi hendaklah sebelum semula melantik/ melantik semula mana-mana orang sebagai anggota Lembaga, mendapatkan penentusahan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia sama ada seseorang itu memenuhi kriteria layak dan sesuai seperti yang ditentukan oleh Suruhanjaya”. Rasional di sebalik penentusahan perlantikan ini adalah bagi memastikan koperasi dapat diurus oleh anggota-anggota Lembaga yang layak dan sesuai seperti yang ditentukan oleh Suruhanjaya di samping mempunyai kelayakan, pengalaman dan kompeten bagi menjalankan tanggungjawab dengan berkesan.

Selain dari perkara di atas SKM juga telah menetapkan terma penentusahan dimana penentusahan SKM adalah sah bagi tempoh tiga tahun dan apabila tamatnya tempoh tersebut, koperasi hendaklah menghantar permohonan baru kepada SKM bagi perlantikan semula. Ini adalah bertujuan bagi menghadkan tempoh penentusahan (“not an open ended”) dan selaras dengan kehendak perlantikan semula anggota Lembaga yang perlu dilaksanakan pada lat-lat masa yang ditetapkan dan sekurang-kurangnya setiap tiga tahun. Koperasi hendaklah juga menghantar borang permohonan kepada SKM untuk penentusahan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum Mesyuarat Agung Tahunan (MAT). Ini adalah bertujuan bagi SKM melantik semula Anggota Lembaga yang akan tamat tempoh perlantikannya (sekurang-kurangnya dua bulan sebelum MAT).