Bahagian 3: Kewajipan-kewajipan dan Keistimewaan-keistimewaan Koperasi-koperasi Berdaftar

11. Alamat koperasi berdaftar

Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah mempunyai alamat, yang didaftarkan mengikut Akta ini, yang ke situ segala notis dan perhubungan hendaklah dihantar,
dan hendaklah memaklumkan Ketua Pendaftar tentang tiap-tiap pertukaran alamat itu.

12. Nama berdaftar hendaklah dipamerkan

Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah mempamerkan nama berdaftar koperasi itu dengan ketara di alamat berdaftarnya dan di semua tempat perniagaannya.

13. Dokumen terbuka untuk diperiksa

Tiap-tiap koperasi hendaklah menyediakan-

  1. suatu salinan Akta ini dan peraturan-peraturan.

  2. suatu salinan undang-undang kecilnya dan akaun terauditnya yang terakhir, dan

  3. suatu senarai anggotanya, yang terbuka untuk diperiksa oleh anggota-anggotanya sahaja,tanpa apa-apa bayaran, pada segala masa yang munasabah di alamat berdaftar koperasi itu.

14. Dokumen-dokumen yang hendaklah diserahkan kepada Ketua Pendaftar

Tiap-tiap koperasi berdaftar hendaklah menyerahkan kepada Ketua Pendaftar-

  1. suatu senarai anggota Lembaga tidak lewat daripada lima belas hari selepas mesyuarat agung tahunannya.

  2. minit-minit segala mesyuarat agung dan mesyuarat Lembaga tidak lewat daripada tiga puluh hari selepas tarikh mesyuarat-mesyuarat itu.

  3. apa-apa maklumat lain yang dikehendaki oleh Ketua Pendaftar berkenaan dengan penubuhan, keanggotaan, pengendalian dan keadaan kewangan koperasi itu.

15. Daftar anggota

Apa-apa daftar atau senarai anggota yang disimpan oleh mana-mana koperasi berdaftar hendaklah menjadi keterangan prima facie tentang nama, alamat, nombor kad pengenalan, nombor keanggotaan dan
pekerjaan seseorang anggota dan tarikh dia menjadi anggota dan terhenti menjadi anggota.

16. Bukti catatan dalam buku-buku koperasi

  1. Salinan apa-apa catatan dalam sesuatu buku sesuatu koperasi berdaftar yang lazim disimpan dalam perjalanan urusannya hendaklah, jika diperakui mengikut cara yang ditetapkan
    oleh peraturan-peraturan, diterima dalam apa-apa prosiding undang-undang, sama ada sivil atau jenayah, dan hendaklah diterima sebagai keterangan bagi perkara-perkara, transaksi-transaksi
    dan akaun-akaun yang direkodkan di dalamnya dalam tiap-tiap kes jika, dan sehingga takat yang sama sebagaimana, catatan yang asal itu sendiri boleh diterima.

  2. Tiada pegawai mana-mana koperasi berdaftar boleh, dalam apa-apa prosiding undang-undang yang koperasi berdaftar itu tidak menjadi satu pihak kepadanya, dipaksa supaya mengemukakan
    mana-mana buku koperasi berdaftar itu yang kandungannya boleh dibuktikan di bawah subseksyen (1), atau supaya hadir sebagai saksi untuk membuktikan apa-apa perkara, transaksi atau akaun yang
    direkodkan di dalamnya, melainkan jika diarahkan sedemikian oleh mahkamah atas sebab-sebab khas.

17. Undang-undang kecil hendaklah mengikat anggota-anggota

Undang-undang kecil sesuatu koperasi berdaftar hendaklah, apabila didaftarkan, mengikat koperasi berdaftar itu dan anggota-anggotanya sehingga takat yang sama seolah-olah undang-undang kecil itu
telah ditandatangani oleh setiap anggota dan mengandungi waad pada pihak setiap anggota bagi dirinya sendiri dan bagi penggantinya untuk mematuhi segala peruntukan undang-undang kecil itu.

18. Pindaan undang-undang kecil koperasi berdaftar

  1. Mana-mana koperasi berdaftar boleh, tertakluk kepada Akta ini dan peraturan-peraturan, meminda undang-undang kecilnya, termasuklah undang-undang kecil yang mengisytiharkan nama koperasi itu.

  2. Tiada pindaan undang-undang kecil sesuatu koperasi berdaftar boleh menjadi sah sehingga pindaan itu didaftarkan di bawah Akta ini, dan bagi maksud itu salinan-salinan pindaan itu hendaklah dikemukakan
    kepada Ketua Pendaftar.

  3. Jika Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa apa-apa pindaan undang-undang kecil itu tidaklah bertentangan dengan Akta ini atau peraturan-peraturan, dia boleh mendaftarkan pindaan itu.

  4. Sesuatu rayuan terhadap keengganan Ketua Pendaftar untuk mendaftarkan apa-apa pindaan mana-mana undang-undang kecil bolehlah dibuat kepada Menteri dalam masa tiga bulan dari tarikh keengganan itu.

  5. Sesuatu pindaan yang mengubah nama sesuatu koperasi berdaftar tidaklah menyentuh apa-apa hak atau obligasi koperasi itu atau mana-mana anggotanya atau bekas anggotanya, dan apa-apa prosiding undang-undang
    yang belum selesai bolehlah diteruskan oleh atau terhadap koperasi itu di bawah nama barunya.

  6. Apabila Ketua Pendaftar mendaftarkan pindaan undang-undang kecil sesuatu koperasi berdaftar, dia hendaklah mengeluarkan, kepada koperasi itu, satu salinan pindaan itu yang diperakui olehnya, yang hendaklah
    menjadi keterangan konklusif tentang hakikat bahawa pindaan itu telah didaftarkan sewajarnya.

  7. Dalam seksyen ini, "pindaan" termasuklah pembuatan sesuatu undang-undang kecil baru dan pengubahan atau penghapusan sesuatu undang-undang kecil.

18A. Kuasa Ketua Pendaftar mengarahkan mesyuarat agung dipanggil untuk Pindaan undang-undang kecil

  1. Ketua Pendaftar boleh mengarahkan mana-mana koperasi berdaftar memanggil suatu mesyuarat agung, dalam tempoh yang akan dinyatakan olehnya yang tidak kurang daripada tiga bulan dari tarikh pemberitahuan yang
    diberikan olehnya, bagi maksud meminda undang-undang kecilnya jika Ketua Pendaftar berpuas hati bahawa-

    1. mana-mana undang-undang kecil sesuatu koperasi berdaftar mempunyai tafsiran yang taksa atau yang meragukan dan berkemungkinan boleh mengelirukan atau ia bertentangan dengan atau tak konsisten dengan Akta
      ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya, atau

    2. sesuatu pindaan adalah perlu atau dikehendaki demi kepentingan koperasi berdaftar itu.

  2. Jika tiada mesyuarat agung dipanggil dalam masa yang dinyatakan dalam subseksyen (1), Ketua Pendaftar boleh meminda undang-undang kecil koperasi berdaftar itu atas usulnya sendiri dan apa-apa pindaan yang dibuat
    hendaklah disifatkan sebagai pindaan berdaftar di bawah seksyen 18.

19. Pembentukan subsidiari

Tiada koperasi berdaftar boleh membentuk, mempunyai, memperoleh atau memegang subsidiari tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pendaftar.

20. Pelupusan hasil kepada atau melalui koperasi berdaftar

  1. Sesuatu koperasi berdaftar yang salah satu daripada matlamatnya ialah pelupusan apa-apa artikel yang dihasilkan atau didapati melalui kerja atau usaha anggota-anggotanya, sama ada hasil pertanian, penternakan,
    perhutanan, perikanan, kraftangan atau selainnya, boleh membuat peruntukan dalam undang-undang kecilnya atau boleh selainnya membuat kontrak dengan anggota-anggotanya-

    1. bahawa tiap-tiap anggota sedemikian yang menghasilkan mana-mana artikel sedemikian hendaklah melupuskan kesemua atau apa-apa jumlah, kadar atau perihalannya yang ditentukan kepada atau melalui koperasi itu, dan

    2. bahawa mana-mana anggota yang dibuktikan atau diputuskan, mengikut cara yang ditetapkan melalui peraturan-peraturan, bersalah kerana melanggar undang-undang kecil atau kontrak itu hendaklah membayar, sebagai
      ganti rugi tunai, kepada kontrak itu suatu jumlah wang yang ditentukan atau ditaksirkan mengikut cara yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan.

  2. Tiada kontrak yang dibuat di bawah seksyen ini boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah semata-mata atas alasan bahawa ia merupakan suatu kontrak yang menyekat perniagaan.

21. Pewujudan gadaian bagi faedah koperasi berdaftar

  1. Tertakluk kepada apa-apa tuntutan terdahulu Kerajaan Persekutuan atau mana-mana Kerajaan Negeri ke atas harta penghutang dan kepada Lien atau tuntutan seseorang tuan tanah atau tuan
    rumah berkenaan dengan sewa atau apa-apa wang yang boleh didapatkan sebagai sewa dan, dalam hal harta tak alih, kepada apa-apa gadaian berdaftar terdahulu atasnya-

    1. apa-apa hutang atau apa-apa tuntutan belum terjelas yang kena dibayar kepada sesuatu koperasi berdaftar oleh mana-mana anggota atau bekas anggota hendaklah menjadi
      gadaian pertama atas segala tanaman atau hasil pertanian yang lain, ikan (air tawar dan air masin), kayu yang ditebang atau hasil hutan yang lain, hasil laut, ternakan,
      makanan ternakan, alat pertanian, perindustrian dan perikanan, loji, jentera, bot, takal dan jaring, bahan mentah, stok barang dan pada umumnya segala hasil buruh dan
      benda yang digunakan berkaitan dengan pengeluaran yang kesemuanya atau sebahagiannya diperdapatkan, dibeli atau dihasilkan daripada apa-apa pinjaman, sama ada dalam bentuk
      wang atau barang, yang diberikan kepadanya oleh koperasi itu.

    2. apa-apa tuntutan atau bareh yang belum terjelas yang kena dibayar kepada sesuatu koperasi perumahan berdaftar oleh mana-mana anggota atau bekas anggota berkenaan dengan sewa, syer, pinjaman
      atau wang pembelian atau apa-apa hak atau amaun lain yang kena dibayar kepada koperasi itu hendaklah menjadi gadaian pertama atas kepentingannya mengenai harta tak alih koperasi itu.

  2. Tiada apa-apa jua dalam perenggan (1)(a) boleh menyentuh mana-mana pembeli bona fide atau penerima pindahan bona fide tanpa notis.

22. Lien dan tolakan berkenaan dengan syer atau kepentingan anggota-anggota

Sesuatu koperasi berdaftar hendaklah mempunyai lien atas syer atau yuran atau kepentingan dalam modal dan deposit seseorang anggota atau bekas anggota atau anggota yang mati dan atas apa-apa
dividen, potongan langganan, atau keuntungan yang kena dibayar kepada seseorang anggota atau bekas anggota atau kepada harta pusaka seseorang anggota yang mati berkenaan dengan apa-apa hutang yang
kena dibayar kepada koperasi itu oleh anggota atau bekas anggota itu atau daripada harta pusaka itu, dan boleh menolak apa-apa jumlah wang yang dikreditkan atau kena dibayar kepada seseorang anggota
atau bekas anggota atau harta pusaka seseorang anggota yang mati sebagai bayaran atau sebagai sebahagian daripada bayaran apa-apa hutang sedemikian.

23. Syer, yuran atau kepentingan tidak boleh dikenakan penahanan atau penjualan

Tertakluk kepada seksyen 22, syer atau yuran atau kepentingan seseorang anggota dalam modal sesuatu koperasi berdaftar tidaklah boleh dikenakan penahanan atau penjualan di bawah apa-apa dekri atau
perintah mahkamah berkenaan dengan apa-apa hutang atau liabiliti yang ditanggung oleh anggota itu, dan baik pemegang hartanya dalam ketaksolvenan mahupun penerima yang dilantik sewajarnya tidaklah
berhak terhadap, atau mempunyai apa-apa tuntutan ke atas, syer atau yuran atan kepentingan itu.

24. Kuasa untuk memperlakukan harta dan kepentingan anggota-anggota yang mati

  1. Apabila seseorang anggotanya mati, sesuatu koperasi berdaftar boleh memindahkan syer atau kepentingan anggota yang mati itu-

    1. dalam hal anggota yang mati yang Muslim, kepada wakil di sisi undang-undang bagi anggota yang mati itu atau kepada orang yang didapati oleh Lembaga ialah orang yang berhak mendapat syer
      atau kepentingan itu menurut apa-apa pembahagian yang dibuat di bawah mana-mana undang-undang yang berhubungan dengan pembahagian harta pusaka, atau

    2. dalam hal anggota yang mati yang bukan Muslim, kepada orang yang dinamakan mengikut peraturan-peraturan bagi maksud itu atau, jika tiada orang yang dinamakan sedemikian, kepada orang yang
      didapati oleh Lembaga ialah waris atau wakil di sisi undang-undang bagi anggota yang mati itu.

    dan boleh membayar kepada wakil di sisi undang-undang, penama, waris atau orang itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, suatu jumlah wang yang merupakan nilai syer atau kepentingan anggota yang
    mati itu, sebagaimana yang ditentukan mengikut peraturan-peraturan atau undang-undang kecilnya.

  2. Jika anggota yang mati itu bukan Muslim, dan penama, waris atau wakil di sisi undang-undang itu tidak layak mengikut Akta ini, peraturan-peraturan atau undang-undang kecil untuk menjadi anggota,
    maka koperasi berdaftar itu boleh, atas permohonan penama, waris atau wakil di sisi undang-undang itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, dalam masa enam bulan dari kematian anggota itu, memindahkan
    syer atau kepentingan anggota itu kepada mana-mana orang yang dinyatakan dalam permohonan itu yang layak menjadi anggota.

  3. Walau apa pun subseksyen (1), jika enam bulan sudah berlalu sejak kematian anggota yang Muslim dan koperasi berdaftar yang berkenaan tidak dapat menentukan siapakah wakil di sisi undang-undang bagi
    anggota itu atau tiada wakil di sisi undang-undang telah dilantik atau harta pusaka anggota itu belum dibahagikan atau harta pusaka anggota itu telah dibahagikan tetapi koperasi berdaftar itu tidak
    dapat menentukan siapakah orang yang berhak mendapat syer atau kepentingan itu menurut pembahagian itu, maka koperasi berdaftar itu boleh membayar kepada Pegawai Pentadbir Pusaka sejumlah wang yang
    merupakan nilai syer atau kepentingan anggota itu sebagaimana yang ditentukan mengikut peraturan-peraturan atau undang-undang kecilnya.

  4. Sesuatu koperasi berdaftar boleh membayar segala wang lain yang kena dibayar kepada seseorang anggota yang mati oleh koperasi berdaftar itu kepada wakil di sisi undang-undang, Pegawai Pentadbir Pusaka,
    penama, waris atau orang, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang disebutkan dalam subseksyen (1) dan (3).

25. Deposit oleh atau bagi pihak orang belum dewasa

  1. Sesuatu koperasi berdaftar boleh menerima deposit daripada atau bagi faedah orang-orang belum dewasa dan koperasi itu boleh membayar bonus daripada keuntungan bersihnya atas deposit-deposit sedemikian.

  2. Apa-apa deposit yang dibuat oleh atau bagi faedah orang belum dewasa itu boleh, berserta dengan bonus, dibayar kepada orang belum dewasa itu atau kepada penjaga orang belum dewasa itu bagi kegunaan orang belum dewasa itu.

  3. Penerimaan mana-mana orang belum dewasa atau penjaga akan wang yang dibayar kepadanya oleh sesuatu koperasi berdaftar di bawah seksyen ini hendaklah menjadi pelepasan yang mencukupi bagi liabiliti koperasi berdaftar itu
    berkenaan dengan wang itu.