Aturan 1: Etika Mesyuarat Agung

1. Perhimpunan

Anggota-anggota hendaklah berhimpun di suatu tempat pada masa dan tarikh yang ditetapkan
dalam Notis Mesyuarat.

2. Bahasa Rasmi

Bahasa Rasmi bagi acara mesyuarat hendaklah Bahasa Melayu.

3. Pengerusi Mesyuarat

Pengerusi acara mesyuarat hendaklah sebagaimana ditetapkan oleh Undang-undang Kecil 32(1).

4. Perkara-Perkara Mesyuarat

Agenda mesyuarat hendaklah sebagaimana dinyatakan dalam Notis Mesyuarat. Semua perkara yang
tercatat dalam Agenda Mesyuarat hendaklah diutamakan lebih daripada perkara-perkara yang lain.

5. Kourum

Kuorum hendaklah sebagaimana ditetapkan oleh Undang-undang Kecil 28(1), (2) dan (3).

6. Minit Mesyuarat Agung Yang Lalu

Minit Mesyuarat Agung yang lalu akan diedarkan untuk pengesahan. Selain dari pembetulan minit,
perbincangan atasnya tidak dibenar. Hanya selepas pengesahan dibuat dan ditandatangani oleh Pengerusi,
anggota-anggota boleh bertanya sekadar mendapat penjelasan sahaja. Perbahasan terhadapnya tidak dibenarkan.

7. Setiausaha Mesyuarat

Mesyuarat Agung boleh melantik seorang Setiausaha untuk mencatat perjalanan mesyuarat dan hendaklah
menyerahkan Minit Mesyuarat itu kepada Setiausaha Koperasi ini dalam tempoh dua minggu dari tarikh
Mesyuarat Agung diadakan.

8. Hak-Hak Anggota

Anggota-anggota yang sah dalam mesyuarat mempunyai hak untuk bercakap, menyuarakan pendapat,
pandangan, cadangan, sokongan dan mengundi atas sesuatu perkara yang dibincangkan dalam Agenda Mesyuarat.

9. Laporan Tahunan

  1. Laporan Tahunan yang mengandungi Laporan Lembaga dan Penyata Kewangan akan dibentangkan untuk dibincangkan setelah Minit Mesyuarat
    Agung yang lalu disahkan. Penerimaannya hendaklah di bawah syor Telah diterima dan diluluskan.

  2. Laporan Tahunan hendaklah diberi keutamaan dari lain-lain perkara. Sesuatu syor boleh dibuat terhadap mana-mana para dalam laporan
    tersebut dan ia hendaklah dibuat dengan persetujuan Pengerusi. Syor seperti ini hendaklah mengenai perkara yang tidak boleh diterima
    atau sebarang ketinggalan yang mendukacitakan.

10. Tertib Bercakap

  1. Anggota-anggota yang hendak bercakap hendaklah bangun dan apabila dipanggil oleh Pengerusi hendaklah ia berdiri dan mengarahkan ucapannya
    kepada Pengerusi. Apabila lebih dari seorang bangun untuk bercakap, anggota terdahulu bangun diberi keutamaan. Walaubagaimanapun, keputusan
    terletak pada Pengerusi.

  2. Anggota-anggota tidak boleh bercakap lebih dari sekali diatas sebarang usul atau pindaan yang sama kecuali (sebagai pembawa usul atau pindaan
    kepada usul itu) untuk menjawab. Tetapi sekiranya ada pindaan dibuat ke atas usul asal, seseorang anggota, sungguhpun telah bercakap dibolehkan
    sekali lagi bercakap terhadap pindaan yang dibuat itu.

  3. Seseorang anggota tidak boleh mengganggu anggota yang sedang bercakap kecuali :-

    1. Jika hendak mengeluarkan teguran berkenaan perkara tertib mesyuarat. Ketika itu anggota yang sedang bercakap hendaklah menarik perhatian
      kepada perkara yang hendak dikeluarkan buat pengetahuan mesyuarat dan diserahkan kepada Pengerusi untuk memutuskannya, atau

    2. Jika hendak menerangkan apa-apa perkara yang dikeluarkan oleh anggota yang bercakap itu dalam ucapannya dengan syarat anggota yang sedang
      bercakap itu mahu beralah dan duduk dan anggota yang hendak mengganggu itu dipanggil oleh Pengerusi.

  4. Jika seseorang anggota mengganggu anggota lain yang sedang bercakap semasa mesyuarat berjalan atau menggunakan bahasa kasar atau biadab dan engkar
    mematuhi arahan Pengerusi apabila diminta menjaga tertib mesyuarat, namanya akan dicatat oleh Pengerusi. la akan diminta meninggalkan bilik mesyuarat
    dan tidak akan dibenarkan masuk selagi ia tidak meminta maaf yang memuaskan dan diterima oleh Pengerusi.

  5. Jika Pengerusi memberi arahan untuk bertenang, atau apa-apa arahan yang ada kaitan dengan mesyuarat, anggota yang sedang bercakap hendaklah kembali
    duduk dan lain-lain anggota tidak dibenarkan bercakap sehingga Pengerusi memberi kebenaran untuk melanjutkan perbincangan.

11. Had Masa Bercakap

Pembawa usul atau pindaan tidak dibenarkan bercakap lebih daripada lima minit. Anggota yang membicarakan usul selepas itu tidak dibenarkan melebihi tiga minit,
kecuali jika dibenarkan masa tambahan oleh Pengerusi. Tambahan masa yang diberi hendaklah tidak melebihi dua minit.

12. lsi-lsi Ucapan

  1. Anggota hendaklah menghadkan percakapan kepada perkara yang dibincangkan sahaja, dan tidak boleh mengeluarkan apa-apa yang tidak ada kaitan dengan
    perkara yang dibincangkan itu.

  2. Perkara-perkara yang dalam timbangan mahkamah tidak boleh disebut.

  3. Perkara-perkara yang telah diputuskan oleh mesyuarat tidak boleh ditimbangkan semula kecuali dengan adanya usul tersendiri bagi membatalkan keputusan
    mesyuarat berkenaan dengan perkara itu.

  4. Seseorang anggota tidak boleh menggunakan bahasa biadab dan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat terhadap anggota lain.

  5. Nama, kelakuan dan sifat Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agung atau nama DYMM Raja-raja Melayu atau Tuan Yang Terutama Negeri Pulau Pinang,
    Melaka, Sabah dan Sarawak tidak boleh digunakan bagi mempengaruhi mesyuarat.

  6. Seseorang anggota yang bercakap tidak boleh menggunakan:

    1. Perkataan-perkataan derhaka pada negeri.

    2. Perkataan-perkataan yang membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan, dan

    3. Perkataan-perkataan yang menaikkan perasaan sakit hati dan permusuhan di antara kaum di Malaysia.

  7. Jika pada timbangan Pengerusi, bahawa apa-apa usul atau pindaan atau perbahasan yang akan dijalankan atas usul atau pindaan itu tujuannya melanggar peraturan
    ini, maka Pengerusi boleh menolak usul atau pindaan itu atau memberhentikan perbahasan itu dan memerintahkan supaya usul atau pindaan itu tidak dibahaskan lagi.

13. Menutup Ucapan/Perbahasan

Setelah sesuatu masalah dikemukakan kepada mesyuarat, seseorang anggota boleh mencadangkan usul itu diputuskan. Jika pada fikiran Pengerusi usul itu tidak akan membawa
kepada salah dari segi mana-mana peraturan, maka masalah itu boleh dikemukakan untuk diputuskan dengan serta-merta. la hendaklah diputuskan dengan tidak boleh dipinda
atau dibincang (bahas) walaupun pembawa usul asal atau pindaan tidak berpeluang menjawab.

14. Usul (Motion)

  1. Sebarang cadangan pertama di dalam satu perkara itu akan dikenali sebagai "Usul Asal dan semua cadangan mengenai perkara yang sama dikenali sebagai "pindaan.

  2. Tiap-tiap usul atau pindaan-pindaan kepadanya hendaklah ada pencadang dan penyokongnya dan hendaklah dibentangkan secara bertulis.

  3. Tiap-tiap usul yang hendak dimasukkan ke dalam Agenda hendaklah dihantar secara bertulis kepada Setiausaha Koperasi sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat
    Agung diadakan.

  4. Seseorang anggota yang ingin menarik balik atau mengubah atau meminda isi-isi sesuatu usul yang dibuat olehnya boleh berbuat demikian dengan memberitahu secara bertulis
    berkenaannya kepada Setiausaha sebelum tarikh Mesyuarat Agung. Tetapi disyaratkan pindaan itu pada timbangan Pengerusi tidak mengubah asas atau tujuan yang terkandung
    dalam usul asal itu.

  5. Apabila sesuatu usul itu ditarik balik selepas ianya telah dimasukkan dalam Agenda, Pengerusi, apabila sampai masanya, mengisytiharkan dalam Mesyuarat Agung bahawa
    usul tersebut itu telah ditarik balik dan tidak boleh dibahas lagi.

15. Cadangan Dan Sokongan

  1. Sesuatu usul atau pindaan tidak boleh dibincangkan atau dibahas sehingga ia mendapat sokongan. Jika tiada sokongan usul atau pindaan itu gugur dengan sendirinya.

  2. Seseorang anggota tidak boleh mencadangkan atau menyokong lebih dari sekali. Pencadang atau penyokong sesuatu usul atau pindaan usul tidak boleh mengemukakan (mencadang)
    atau menyokong pindaan lain kepada usul tersebut.

16. Pindaan

Jika sebarang pindaan dikemukakan dan disokong terhadap sesuatu usul, pindaan selanjutnya tidak boleh dibuat sehingga pindaan terdahulu itu dibatalkan. Apabila pindaan kepada usul
tersebut diisytiharkan, usul yang dipinda menjadi usul asal, yang mana pindaan-pindaan selanjutnya boleh dikemukakan tertakluk kepada peraturan 18 Etika ini.

17. Hak Menjawab

  1. Pembawa usul (termasuk pembawa pindaan yang menjadi usul asal) mempunyai hak untuk menjawab dengan syarat ia hendaklah menjawab kepada ucapan yang dibuat olehnya terdahulu.
    Perkara-perkara baru tidak boleh dibangkitkan. Setelah menjawab, usul hendaklah diundi dengan segera untuk mendapatkan suara majoriti anggota-anggota yang hadir.

  2. Jika usul asal telah diganti dengan pindaan, hak menjawab diberikan kepada pembawa pindaan.

18. Usul Tergempar

Sebarang usul yang tidak dimasukkan ke dalam Agenda tidak boleh dikemukakan dalam mesyuarat. Tiap-tiap anggota yang berhajat untuk membawa perkara-perkara yang tidak bertulis dalam
agenda hendaklah mempunyai hak untuk mengemukakannya sebagai Perkara-perkara Mustahak, usul demikian hendaklah dibuat secara bertulis dan ditandatangani oleh pembawa untuk diserahkan
kepada Pengerusi dan dibaca kepada majlis mesyuarat. Pengerusi akan menangguhkan mesyuarat dalam masa tidak lebih dari lima minit. Apabila mesyuarat disambung semula, Pengerusi hendaklah
membacakan usul tersebut dan meletakkan perkara itu kepada mesyuarat bagi memutuskan samada atau tidak ia boleh diterima untuk dibahaskan. Pencadang usul hanya boleh bercakap setelah
mesyuarat bersetuju menerima dengan kelebihan undi (2/3) dua pertiga.

19. Pengundian

  1. Semua perkara hendaklah diputuskan dengan kelebihan undi kecuali perkara-perkara berkaitan dengan Pindaan Undang-undang Kecil. Jika undi sama banyak, perkara yang dibincangkan
    disifatkan kalah. Pengerusi tiada undi muktamad.

  2. Pengerusi mesyuarat tidak boleh mengundi berkenaan sebarang perkara mengenai dirinya sendiri.

  3. Cara mengundi hendaklah sebagaimana ditetapkan oleh Undang-undang Kecil 29.

20. Adab Anggota Tidak Bercakap Semasa Mesyuarat

  1. Anggota hendaklah masuk ke dewan atau keluar daripada dewan atau membawa diri dalam dewan dengan tertib adab.

  2. Seseorang anggota tidak boleh melintas ruangan tengah dewan tanpa apa-apa urusan.

  3. Anggota tidak boleh membaca surat-suratkhabar, buku-buku, surat-surat atau lain-lain kecuali bahan bacaan yang ada kena mengena dengan perkara yang dibahaskan.

  4. Masa seseorang anggota bercakap, anggota lain hendaklah diam dan tidak mengganggu.

21. Kuasa Pengerusi Mesyuarat dan Tertib Dalam Mesyuarat

  1. Bila anggota-anggota ditegur oleh Pengerusi berkenaan dengan peraturan mesyuarat atau bangun semasa perbahasan berjalan, mana-mana anggota yang sedang bercakap, hendaklah duduk
    dan mesyuarat hendaklah diam supaya percakapan Pengerusi dapat didengar dan tidak terganggu.

  2. Adalah menjadi tanggungjawab Pengerusi memastikan supaya Etika Mesyuarat ni dipatuhi dan keputusan mengenai apa-apa perkara peraturan mesyuarat tidak boleh diminta
    ditimbangkan semula.

  3. Pengerusi, setelah menarik perhatian mesyuarat kepada kelakuan seseorang anggota yang degil dengan menyebutkan perkara-perkara yang tidak kena mengena dengan perkara
    mesyuarat boleh, memerintahkan ia berhenti bercakap.

  4. Pengerusi hendaklah memerintahkan mana-mana anggota yang berkelakuan tidak senonoh (biadab) keluardengan serta merta daripada mesyuarat.

  5. Anggota yang diperintahkan keluar menurut 21.4 dengan serta-merta hendaklah keluar dari dewan dan tidak dibenarkan masuk hingga habis mesyuarat.

  6. Sesuatu perkara yang berbangkit mengenai prosedur, maka proses pengundian untuk membuat keputusan adalah tidak diperlukan. Adalah memadai dengan keputusan Pengerusi sahaja. Sekiranya
    perkara yang dibincangkan melibatkan perkara hakiki (substantive), maka keputusan hendaklah dibuat cara pengundian.

  7. Jika Mesyuarat Agung membincangkan sesuatu perkara yang melibatkan kepentingan Pengerusi, maka mesyuarat hendaklah dipengerusikan oleh seorang yang lain sehingga keputusan telah dibuat.
    Dalam hal ini prinsip 'natural justice' hendaklah dipakai.

  8. Jika berlaku kekacauan besar dan luar jangka dalam mesyuarat, Pengerusi boleh, jika pandangannya wajar menangguhkan mesyuarat tanpa perlu meminta keputusan mesyuarat selama yang ditetapkan olehnya.

22. Penggantungan Mana-Mana Peruntukan Etika Mesyuarat Agung

Mana-mana peruntukan Etika Mesyuarat Agung ini boleh diketepikan atas cadangan mana-mana anggota berhubung dengan mana-mana perkara khas mengenai kelicinan mesyuarat dengan syarat
cadangan itu hendaklah disokong oleh dua pertiga anggota-anggota yang hadir.

23. Kuasa Pembatalan

Lembaga dari masa kesemasa boleh mengemukakan cadangan kepada Mesyuarat Agung bagi membatalkan atau meminda mana-mana peruntukan Etika Mesyuarat Agung ini.

Diakui ATURAN 1 (ETIKA MESYUARAT AGUNG) ini telah dibentang, dibincang dan diterima di dalam Mesyuarat Agung Khas Koperasi Guru-Guru Johor Berhad pada 17 Disember 1995.