Bahagian 6: Aset dan Wang Koperasi

52. Wang dan kumpulan wang Koperasi

  1. Kumpulan wang Koperasi ini, menurut
    sekysen 50
    Akta, mengandungi:-

    1. Syer dan yuran anggota.

    2. Simpanan khas daripada anggota-anggota.

    3. Pinjaman daripada anggota dan bukan anggota.

    4. Kumpulan Wang Rizab.

    5. Akuan Rizab Modal.

    6. Kumpulan Wang Penebusan Syer.

    7. Derma dan pemberian tertentu.

    8. Baki keuntungan terkumpul, dan

    9. Kumpulan wang lain yang diluluskan oleh mesyarat agung.

  2. Kumpulan wang Koperasi ini selain daripada Kumpulan Wang Rizab bolehlah digunakan bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang diperuntukkan di bawah fasal (1) Undang-undang Kecil 8.

53. Modal syer

  1. Bagi maksud perenggan 50(b) Akta,
    setiap anggota hendaklah melanggan satu ratus ringgit syer sebagai
    sumbangan minimum yang hendaklah dijelaskan dalam tempoh sepuluh bulan dan
    tidak boleh dikeluarkan kecuali selepas keanggotaan anggota itu tamat.

  2. Seseorang penama atau wasi yang menyambung keanggotaan anggota yang mati
    hendaklah mengambil jumlah syer yang dimiliki oleh anggota yang digantikannya
    itu tertakluk kepada had yang ditetapkan di bawah fasal (3)
    Undang-undang Kecil ini.

  3. Pemilikan syer seseorang anggota dalam modal Koperasi ini menurut
    seksyen 33 Akta tidaklah boleh melebihi
    satu perlima daripada jumlahnya pada bila-bila masa.

54. Yuran

Yuran bulanan anggota seperti yang diperuntukkan di bawah
perenggan 50(c)
Akta hendaklah sekurang-kurangnya mengikut JADUAL bagaimana di bawah ini:-

Gaji Sebulan
Kadar Minimum Yuran Bulanan

RM599 ke bawah
RM2O.00

RM600-999
RM3O.00

RM1,000-1,499
RM4O.00

RM1,500 ke atas
RM5O.00

Tiap-tiap anggota adalah diminta untuk membuat bayaran yuran yang lebih mengikut aturan
jimat-cermat dan pinjam-meminjam yang dibuat oleh Lembaga dengan keiulusan mesyuarat
agung.

55. Pindahan syer

Seseorang anggota boleh memindahkan kepada anggota lain syer-syernya yang melebihi
sumbangan minimum di bawah fasal (1) Undang-undang Kecil 53,
akan tetapi pindahan tersebut tidak akan berkuatkuasa sehingga borang pemindahan
telah ditandatangani oleh anggota lain itu dan didaftarkan oleh Koperasi. Syer-syer
seseorang yang mati boleh dipindahkan kepada penama atau wasinya apabila penama
atau wasi itu disahkan menjadi anggota atau kepada sesiapa yang dinamakan oleh
penama atau wasi itu dalam masa enam bulan selepas kematian anggota itu,
sepertimana yang diperuntukkan di bawah
seksyen 24
Akta.

56. Penyelesaian modal syer

  1. Jika bagi seseorang anggota yang tamat keanggotaannya oleh
    apa-apa sebab jua pun dan pemindahan tidak dapat dibuat modal syer menurut
    Undang-undang Kecil 55, maka syer-syernya yang
    diperihalkan di dalam Undang-undang Kecil itu bolehlah ditebus oleh
    Koperasi tertakluk kepada fasal (2) Undang-undang Kecil ini.

  2. Syer-syer boleh ditebus hanya dari Kumpulan Wang Penebusan Syer.
    Nilai tebusan syer-syer ini hendaklah mengikut sebagaimana yang ditunjukkan
    dalam akaun teraudit terakhir bagi Koperasi ini akan tetapi tidaklah
    boleh melebihi nilai asalnya.

  3. Syer-syer yang ditebus di bawah fasal (1)
    Undang-undang Kecil ini bolehlah, jika diluluskan oleh mesyuarat agung,
    diterbitkan semula sebagai syer bonus.

57. Keuntungan modal

  1. Menurut seksyen 55 Akta, semua
    keuntungan modal yang diperolehi daripada:-

    1. Penjualan tanah atau bangunan, atau kedua-duanya
      sebagai aset tetap, dan

    2. Penilaian semula tanah atau bangunan, atau kedua-duanya, sebagai
      aset tetap, dengan kelulusan Ketua pendaftar, hendaklah dikreditkan
      kepada Akaun Rizab Modal.

  2. Keuntungan modal yang disebutkan di dalam perenggan (a)
    fasal (1)
    Undang-undang Kecil ini bolehlah, jika diluluskan oleh
    mesyuarat agung, digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:-

    1. Penerbitan syer bonus.

    2. Penghapusan kira kerugian terkumpul.

    3. Penghapusan kira kerugian modal, dan

    4. Pewujudan suatu Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus.

  3. Syer bonus boleh diterbitkan menurut tatacara di bawah
    peraturan 25 Peraturan dengan
    syarat:-

    1. Nama anggota yang akan menerima itu ada dalam daftar Koperasi pada
      tarikh pengisytiharan syer bonus itu.

    2. Semua kerugiaan terkumpul dan semasa telah dihapus kira.

    3. Buku-buku dan rekod-rekod Koperasi telah disenggarakan dengan
      memuaskan menurut pandangan Ketua Pendaftar.

  4. Syer bonus tidak boleh dikeluarkan tetapi boleh, dengan kelulusan Lembaga,
    dipindahkan kepada anggota lain atau, dalam hal anggota yang mati selepas
    syer bonus itu diterbitkan, dibayar daripada Kumpulan Wang Penebusan Syer Bonus.

58. Kumpulan Wang Rizab

  1. Koperasi ini hendaklah mewujud dan menyenggarakan satu Kumpulan Wang Rizab
    menurut subseksyen 57 (1) Akta yang
    kepadanya tidak kurang daripada 15 peratus daripada keuntungan bersih
    terauditnya hendaklah dikreditkan.

  2. Kumpulan Wang Rizab ini tidak boleh dibahagi-bahagikan dan tiada anggota
    yang berhak untuk menuntut apa-apa bahagian tertentu daripadanya.

59. Simpanan khas

Koperasi bolehlah menurut peruntukan
perenggan 50 (d)
Akta, menerima simpanan khas tertakluk kepada terma-terma dan
syarat-syarat yang dibuat mengikut
fasal (4) Undang-undang Kecil 8
.

60. Pinjaman luar

  1. Tertakluk kepada kelulusan mesyuarat agung, seperti yang dinyatakan
    di bawah seksyen 52 Akta, Koperasi
    bolehlah meminjam wang daripada anggota dan bukan anggotanya untuk
    digunakan bagi maksud yang khas dalam perniagaannya.

  2. Koperasi ini hendaklah setiap tahun menentukan di dalam mesyuarat agungnya
    had maksimum keterhutangan berkenaan dengan pinjaman yang sedia ada dan
    yang baru yang akan ditanggung dalam tahun yang akan datang.

61. Pelaburan wang

  1. Wang berlebihan Koperasi ini bolehlah dilabur atau didepositkan menurut
    peruntukan seksyen 54 Akta.

  2. Had maksimum yang boleh dilaburkan oleh Koperasi bagi sesuatu maksud
    hendaklah ditentukan oleh mesyuarat agung.

62. Pemberian pinjaman oleh Koperasi

Menurut subseksyen 51 (1) Akta, Koperasi
ini bolehlah memberikan apa-apa pinjaman atau kemudahan kredit lain kepada :-

  1. Anggota-anggotanya, tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat yang
    ditetapkan dalam aturan-aturan yang diluluskan oleh mesyuarat agung.

  2. Pekerja-pekerjanya, tertakluk kepada kepada terma-terma dan syarat-syarat
    gunakhidmat mereka dan peruntukan
    peraturan 21
    Peraturan, atau

  3. Subsidiari atau subsidiari-subsidiarinya atau Koperasi berdaftar lain,
    tertakluk kepada kelulusan Ketua Pendaftar.

63. Pengagihan untung bersih teraudit

  1. Keuntungan bersih teraudit Koperasi ini seperti yang ditunjukkan
    dalam akaun untung rugi menurut
    seksyen 56
    Akta hendaklah diagihkan menurut
    subseksyen 57 (1) dan
    (2) Akta seperti berikut:-

    1. Tidak kurang daripada lima belas peratus dibayar
      kepada kumpulan Wang Rizab, dan

    2. Sebanyak mana yang ditentukan dari semasa ke semasa
      oleh Menteri dibayar kepada mana-mana institusi pendidikan atau
      mana-mana Koperasi menengah atau atasan yang telah diisytiharkan
      oleh Menteri sebagai badan yang mewakili pergerakan koperasi
      diperingkat kebangsaan dan antarabangsa atau kedua-duanya atau
      kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

    Disyaratkan bahawa menurut subseksyen 57(4)
    Akta, bolehlah ditolak apa-apa bayaran yang dibuat menurut
    perenggan (b) daripada jumlah wang yang disebutkan
    di dalam perenggan (a).

  2. Selepas pengagihan mengikut fasal (1)
    Undang-undang Kecil ini, dan peruntukan cukai pendapatan jika ada, baki
    untung bersih teraudit, termasuk baki keuntungan yang belum dibahagi-bahagikan
    menurut subseksyen 57(5) Akta bolehlah
    digunakan bagi semua atau mana-mana maksud yang berikut:-

    1. Potongan kerana langganan.

    2. Pulangan atas simpanan khas.

    3. Dividen atas syer dan yuran.

    4. Bayaran honorarium kepada anggota Lembaga.

    5. Peruntukan sebanyak tidak lebih sepuluh peratus daripada untung
      bersih teraudit bagi apa-apa maksud kebajikan yang diluluskan oleh
      mesyuarat agung, dan

    6. Peruntukan kepada kumpulan wang lain yang diwujudkan menurut
      fasal (1) Undang-undang Kecil, 52.

  3. Menurut subseksyen 57 (7) Akta,
    bayaran kepada perkara-perkara dibawah perenggan (b)
    fasal (1)
    dan fasal (2) Undang-undang Kecil ini
    boleh dibuat hanya jika semua kerugian terkumpul telah hapus kira sepenuhnya.

  4. Dengan kelulusan Ketua Pendaftar, Koperasi ini boleh, sekiranya kerugian
    terkumpul tidak dihapus kira sepenuhnya, menggunakan tidak lebih lima
    peratus daripada untung bersih terauditnya untuk pembayaran dividen kepada
    anggota-anggotanya sepertimana yang dinyatakan di bawah
    subseksyen 57 (8) Akta.

64. Dividen, potongan kerana langganan dan lain-lain

  1. Kadar dividen yang dibayar atas syer-syer atau yuran kepunyaan tiap-tiap
    anggota seperti pada enam bulan sebelum akhir tahun kewangan, mengikut
    peraturan 24 Peraturan hendaklah
    tidak melebihi sepuluh peratus kecuali dengan kelulusan Ketua Pendaftar.
    Seseorang yang namanya tidak ada dalam daftar nama anggota Koperasi ini
    pada tarikh akhir tahun kewangan yang berkenaan tidak layak untuk mendapat
    dividen.

  2. Dividen hendaklah dikreditkan ke akaun simpanan khas anggota sekiranya
    anggota itu tidak meminta dibayar kepadanya secara tunai dalam tempoh tiga
    puluh hari dari tarikh dividen itu diisytiharkan.

  3. Kadar potongan langganan yang dibayar ke atas langganan tiap-tiap anggota
    di dalam tahun kewangan yang berkenaan hendaklah tidak melebihi lima peratus
    kecuali dengan kelulusan Lembaga dan potongan kerana langganan boleh
    diberikan hanya jika langganan seseorang anggota tidak kurang daripada
    lima ribu ringgit dan telah diselesaikan dalam tahun kewangan yang
    berkenaan.